
SUNGAI SIPUT, 26 NOVEMBER 08– Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pemeran dan festival sempena Sambutan Agrofest 2008 adalah usaha murni kerajaan negeri bagi menarik ramai pengunjung dalam dan luar negara untuk turut datang berbelanja di sini di samping menimba pelbagai ilmu perniagaan.
“Perayaan Agrofest 2008 ini merupakan satu pelaburan besar kerajaan negeri ke arah menjana ekonomi pertanian berlipat ganda, jika ia dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Peladang, Penternak dan Nelayan,” jelasnya semasa menyampaikan ucapan Perasmian Agrofest, Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2008 Peringkat Negeri Perak.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri yang menyedari hakikat itu mengambil langkah awal dengan menganjurkan Klinik Bimbingan Usahawan bagi memberi peluang kepada para graduan dan bakal-bakal usahawan untuk didedahkan dengan bidang keusahawanan industri asastani.
Hadir sama di majlis itu, YB Encik Jamaluddin Mohd Radzi, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Koperasi, Pertanian dan Perladangan Negeri Perak, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.
Lebih dari 200 penyertaan daripada semua sektor pertanian termasuk Agro Pelancongan dari agensi kerajaan, sektor swasta serta pelbagai hasil keluaran usahawan Industri Asas Tani yang mempamerkan kejayaan produk dan teknologi masing-masing. Agrofest yang berakhir pada 30 Disember 2008 dijangka menarik pengunjung melebihi 30 ribu orang.